Home Selebriti LANCAR TUDUNG DI KELAB MALAM, NEELOFA BOLEH DIDAKWA?

LANCAR TUDUNG DI KELAB MALAM, NEELOFA BOLEH DIDAKWA?

48
0
SHARE

Tindakan pelakon dan pengacara popular, Neelofa mengadakan majlis pelancaran koleksi tudung beliau di Zouk Isnin lalu, boleh mendedahkan beliau kepada tindakan undang- undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1977.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, menurut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilyah Persekutuan) 1977, mana mana orang dengan apa cara sekalipun yang boleh menyebabkan agama Islam itu dipandang hina, adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Neelofa juga mungkin boleh berhadapan dengan tindakan di bawah Seksyen 35 Akta yang sama atas tuduhan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa apa maksiat, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut, Salkukhairi yang juga seorang peguam berkata, tindakan Neelofa itu bukan sahaja boleh memberi gambaran negatif terhadap wanita Muslimah yang bertudung tetapi juga secara tidak lansung boleh menjatuhkan kesucian agama Islam itu sendiri.

“Selepas ini pasti ada yang beranggapan bahawa wanita Muslimah juga boleh pergi dan menari di kelab-kelab malam, asalkan mereka memakai tudung”

“Ini suatu persepsi yang silap dan perlu diperbetulkan kerana Islam mensyariatkan seseorang wanita itu perlu menutup aurat adalah untuk menjaga maruah dan melindungi mereka daripada terjebak dengan perbuatan-perbuatan maksiat yang bertentangan dengan syarak” tambahnya lagi.

Salkukhairi berkata, walau bagaimanapun terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap selebriti tersebut atau sebaliknya.

“Undang-undang sudah lama ada. Cuma lagi, terserah lah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap beliau atau sebaliknya” katanya.

“Jika pihak berkuasa agama ingin mengekang perbuatan sedemikian supaya tidak lagi berlaku selepas ini, maka tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu diambil sebagai pengajaran dan tindakan mendidik masyarakat Islam agar lebih sensitif menjaga kesucian Islam, terutamanya bagi seorang tokoh selebriti yang mempunyai ramai pengikut seperti Neelofa” jelas Salkukhairi.

“Walaupun Neelofa dilaporkan telah meminta maaf atas tindakan beliau tersebut, itu tidak beerti beliau telah terlepas daripada tindakan undang-undang” katanya.

Salkukhairi juga menasihati masyarakat Islam agar lebih peka dan menghormati kesucian Islam dan sentiasa merujuk kepada para alim ulama dan pakar undang-undang sebelum melakukan sesuatu tindakan yang mungkin boleh mencemarkan imej dan kesucian agama Islam.

“Sebab itu undang-undang ini perlu dikuatkuasakan demi menjaga maslahat ummah dan demi menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Jika tidak, undang-undang hanya dilihat semata-mata undang-undang dan tidak mampu pun melindungi kesucian agama Islam” kata beliau mengakhiri perbualan.

Sumber: FB Salkukhairi Abd Sukor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here